JellyPages.com

Ahad, 14 September 2014

Sastera Awal Kanak-kanak

Definisi

Sastera awal kanak-kanak ialah sastera kanak-kanak yang dihasilkan dalam bentuk buku yang boleh dibaca oleh kanak-kanak dan mampu menimbulkan keseronokan kepada mereka. Bagi mencapai tahap tertinggi nilai sastera dan estetika karya, penghasilan sastera awal kanak-kanak ini dilakukan dalam bentuk tulisan dan ilustrasi. Sastera awal kanak-kanak merupakan salah satu elemen yang dikenal pasti berupaya melengkapkan perkembangan seseorang kanak-kanak. Hal ini kerana, sastera awal kanak-kanak mampu memberi kan keseronokan, dapat merangsang imaginasi, dapat membantu mengenal dan memahami diri sendiri, dapat memahami bahasa secara semula jadi, dapat membantu mendapatkan maklumat dan dapat memupuk nilai-nilai murni kepada individu kanak-kanak.

Sastera Awal Kanak-Kanak

Sastera adalah hasil kreatif yang menggunakan bahasa yang indah, baik dengan cara pengucapan atau bertulis. Sastera biasanya digunakan sebagai bahan hiburan dan bahan pengajaran untuk mengenal diri dan masyarakat sesuatu bangsa (Atan Long, 1977). Hasil kreatif sastera itu mungkin terdiri daripada cerita, puisi, drama, cerpen, novel, hikayat, dan lain-lain karya. Justeru, sastera awal kanak-kanak merujuk kepada hubungan kanak-kanak dengan hasil kreatif iaitu buku atau bahan bacaan dan cerita. Hubungan ini boleh dalam bentuk mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Pada peringkat awal kanak-kanak, bahan seperti buku-buku bergambar yang berwarna;  dan bahan bacaan yang diaplikasikan dengan bahan audio visual perlu diperbanyak untuk menarik minat kanak-kanak membaca. Bahan yang demikian sangat penting kerana kebolehan membaca  banyak bergantung kepada ketajaman deria pendengaran dan deria penglihatan kanak-kanak.
Kanak-kanak perlu didedahkan dengan aktiviti membaca buku cerita, melihat pelbagai jenis buku, ditunjukkan cara menjaga buku dan mengumpulkan buku berwarna-warni. Hal ini boleh berlaku kerana pada usia lima tahun, kanak-kanak telah mula menguasai asas-asas bahasa seperti semantik, sintaksis dan pragmatik. Asas-asas bahasa ini akan terus berkembang mengikut pertambahan umur mereka. Satu konsep yang penting dalam pendidikan berhubung dengan pembacaan ini ialah kanak-kanak ini harus disediakan dengan “kesediaan atau persiapan sebelum membaca” atau “reading readiness”.

Sastera kanak-kanak dari Perspektif Pendidikan

Perkembangan Bahasa dan Komunikasi

Perkembangan bahasa dan komunikasi amat penting semasa kanak-kanak masih di peringkat prasekolah. Kurikulum pendidikan awal prasekolah (PKK, 2000) menggariskan prinsip utama pengajaran bahasa ialah menyepadukan empat kemahiran bahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa yang mereka pelajari. Sastera kanak-kanak boleh digunakan untuk membantu perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak. Ini boleh dilakukan melalui bacaan secara kuat kepada kanak-kanak di bilik darjah. Melalui aktiviti bacaan secara kuat ini kanak-kanak akan berpeluang mendengar sebutan yang betul, menyatakan idea atau pendapat melalui perbincangan, dan menceritakan semula cerita atau menulis, atau melukis cerita yang telah didengar atau yang telah dibaca oleh mereka (Allor & Mc Cathreen, 2003). Dengan mendengarkan pembacaan buku, secara tidak lansung kanak-kanak didedahkan dengan fungsi literasi yang bermakna dan menarik perhatian mereka. Disamping itu juga pembacaan buku akan dapat memperkayakan perbendaharaan kata kanak-kanak. Bagi pembaca baru pula, membacakan buku secara kuat ini juga akan memperkenalkan cara menggunakan buku serta fungsi buku kepada mereka (Allor & Mc Cathreen, 2003).

Menurut Tan et all (2003), Kohlberg membahagikan perkembangan moral kepada 6 peringkat yang memfokus kepada keupayaan kanak-kanak mengadili dan bagaimana mereka menyelesaikan dilema yang berkaitan dengan moral. Di peringkat pertama orientasi ke arah hukuman dan ketaatan iaitu mereka mengikuti peraturan kerana takutkan hukuman. Di peringkat kedua pula ialah melakukan sesuatu berdasarkan keinginan dan untuk mendapatkan sesuatu balasan. Apabila mereka telah semakin matang, mereka telah berubah kepada tahap 3 di mana mereka melakukan apa yang sepatutnya baik dilakukan oleh budak baik. Pada tahap ini kanak-kanak telah boleh menerima norma yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Menurut Glazer (2000), melalui cerita kanak-kanak akan mendapat pengajaran mengenai sebab dan akibat sesuatu perlakuan. Seperti mana yang dinyatakan oleh Kohlberg kanak-kanak  pada ketika ini ingin melakukan sesuatu kerana takutkan hukuman dan inginkan balasan yang baik. Untuk orientasi seperti ini cerita yang menggambarkan perbuatan baik dibalas baik dan perbuatan jahat mendapat balasan buruk akan memberi pengajaran kepada kanak-kanak. Oleh itu cerita-cerita yang berbentuk tauladan amat sesuai untuk peringkat usia kanak-kanak ketika ini. Melalui cerita juga kanak-kanak akan mendapat contoh-contoh perwatakan kanak-kanak yang dikatakan baik yang menjadi idola yang ingin diikuti oleh mereka seperti mana konsep seseorang budak yang baik.

Buku-buku yang banyak menggambarkan perlakuan prososial ini bolehlah dijadikan panduan oleh kanak-kanak yang sememangnya mencari-cari model yang baik yang boleh ditiru oleh mereka. Melalui pembacaan buku, kanak-kanak memperkukuhkan lagi konsep keadilan iaitu kanak-kanak dapat membuat penilaian mengenai perasaan orang lain. Mereka belajar memikirkan mengenai orang lain juga dan belajar bertolak ansur dalam kehidupan. Jadi mereka harus tahu bagaimana mengambil giliran, meminta izin, berkongsi sesuatu, mempelawa, dan lain-lain yang pada mulanya agak sukar dilakukan bagi usia mereka yang boleh digambarkan melalui perwatakan di dalam buku cerita kanak-kanak. Dari sudut kerohanian pula sememangnya sastera kanak-kanak  kaya dengan cerita-cerita anbiya dan juga kisah-kisah nabi. Guru boleh menggunakan cerita-cerita ini sebagai cara menyemaikan sifat kerohanian kepada kanak-kanak melalui kisah dan tauladan. Guru-guru juga perlu memastikan buku-buku tersebut adalah yang mudah difahami oleh kanak-kanak dan guru boleh memperkenalkan istilah-istilah baharu yang harus dipelajari oleh kanak-kanak dalam kurikulum kerohanian prasekolah. Bagi amalan-amalan dalam agama Islam seperti ibadah dan sebagainya boleh disampaikan menggunakan buku yang menerangkan perkara ini dengan jelas supaya mudah diikuti oleh kanak-kanak yang beragama Islam.

Sastera kanak-kanak dari Perspektif Pendidikan


Perkembangan  Kreativiti dan Estetika

Komponen Kreativiti dan Estetika memberi fokus kepada memperkembangkan sifat kreatif dan ekspresif melalui imaginasi dan pemikiran (KPM, 2000). Guru-guru harus membantu kanak-kanak memperkembangkan pontesi kreativiti mereka dengan mengadakan peluang untuk mereka mengambil bahagian dalam aktiviti kesenian yang menggunakan daya imaginasinya (Glaser, 2000). Guru yang baik memperkenalkan bentuk kesenian yang baru kepada kanak-kanak serta mengembangkan kemahiran ekspresi mereka secara beransur-ansur agar kanak-kanak dapat mengadaptasi maklumat baru dan menguasai teknik-teknik baru serta menggalakkan kanak-kanak menggunakan segala pontensi diri mereka yang kreatif. Potensi diri yang kreatif adalah cara penyelesaian masalah yang kreatif. Guru boleh menggalakkan dengan mengadakan suasana yang selamat di dalam bilik darjah agar kanak-kanak suka untuk menyuarakan pendapat dan idea mereka. Selalu bertanyakan soalan dan mengadakan aktiviti yang bersifat terbuka supaya kanak-kanak dapat menjawabnya dengan pelbagai jawapan dan cara (Wardel, 2000). Kanak-kanak prasekolah memberikan respons kepada pelbagai bentuk seni. Tunjukkan kepada kanak-kanak yang setiap artis mempunyai cara tersendiri untuk melukis ilustrasinya (Glazer, 2000). Ini ditunjukkan melalui lukisan daripada pelbagai artis yang terkenal. Bantu kanak-kanak membuat pemerhatian dan membezakan hasil satu artis dengan artis yang lain. Sebagai lanjutan, libatkan kanak-kanak dalam aktiviti seni yang berkaitan dengan teknik yang digunakan oleh artis di dalam buku cerita. Kanak-kanak pada usia ini juga suka menggunakan sensori di dalam meneroka alam sekitar.  Bacakan buku yang mengenai penggunaan deria sensori mereka. Begitu juga kanak-kanak gemar menyanyikan lagu-lagu kegemaran mereka. Menurut Wardel, (2000), gunakan buku yang mempunyai lirik lagu dan perdengarkan iramanya kepada kanak-kanak atau guru boleh juga menggunakan CD yang berunsurkan  karaoke kepada kanak-kanak. Sambil mendengar lagu atau puisi galakkan juga kanak-kanak membuat pergerakan kreatif. Kanak-kanak pada usia ini juga suka menggunakan daya imaginasi mereka. Rancang pembacaan buku yang mempunyai pelbagai jalan penyelesaian dan minta pendapat kanak-kanak cara penyelesaian mereka. Dengan melakonkan semula cerita yang telah dibaca juga akan membantu imaginasi kanak-kanak (Wardel, 2000).

Sastera kanak-kanak dari Perspektif Pendidikan

Perkembangan Sosial

Komponen Perkembangan Sosioemosi memberi fokus kepada penguasaan emosi dan kemahiran sosial yang matang. Penguasaan kemahiran ini membolehkan murid belajar mengawal emosi, pemikiran dan tindakan supaya dapat menyesuaikan diri dalam kehidupan bermasyarakat (KPM, 2000). Pada zaman ini kehidupan menjadi bertambah kompleks dan ini mengakibatkan kanak-kanak turut menerima sedikit sebanyak tekanan. Kanak-kanak memerlukan contoh bersosialisasi yang baik, dan mempelajari bagaimana untuk bersosialisasi dengan baik di dalam masyarakat. Dengan menggunakan buku, kanak-kanak akan melihat apa yang dilakukan oleh watak-watak di dalam buku bagi menyesuaikan diri di dalam kehidupan harian. Melalui model-model yang baik yang terdapat dalam buku cerita kanak-kanak mempelajari bagaimana hendak menangani isu-isu kehidupan. Menurut Tan et al (2003), secara amnya pembentukan pelakuan berlaku melalui proses mengenal pasti dan peniruan.  Menurut Bandura (Tan et al, 2003), kanak-kanak mempelajari sesuatu perlakuan melalui proses pemerhatian dan peniruan. Beliau telah banyak menjalankan kajian mengenai proses pemerhatian dan peniruan di dalam bilik darjah dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Dapatan kajian beliau menunjukkan kebanyakan pembelajaran manusia berlaku melalui proses pemerhatian dan peniruan. Menurut Piaget, kanak-kanak berusia dua tahun hingga keenam tahun bersikap egocentrik iaitu terlalu mementingkan dirinya sendiri. Walau bagaimanapun semakin meningkat usia mereka, pemikiran mereka mula berkembang dan mereka telah mula memahami orang lain (Tan et al, 2003). Glazer (2000) menyatakan peniruan boleh berlaku dengan menggunakan buku. Ini kerana melalui buku akan terdapat perlakuan-perlakuan yang prososial seperti bertolak ansur, menunggu giliran, meminta izin, memohon maaf dan sebagainya. Di sini kanak-kanak akan mempelajari dan mencontohi tingkah laku yang betul dan yang boleh diterima oleh masyarakat. Tambahan pula kanak-kanak di usia ini masih baru dalam proses bersosialisasi dan amat memerlukan contoh yang perlu diikuti oleh mereka. Melalui buku cerita juga kanak-kanak mempelajari mengenai perbezaan-perbezaan individu terutamanya dalam konteks masyarakat yang berbilang kaum. Melalui buku kanak-kanak akan mempelajari terdapat persamaan di antara mereka dengan rakan-rakan yang berlainan kaum seperti menyukai makanan atau mainan yang sama dan sebagainya dan terdapat perbezaan dari segi agama, rupa fizikal, budaya dan lain-lain lagi. Melalui cerita-cerita sebegini akan dapat menyatupadukan masyarakat berbilang bangsa sejak dari usia muda lagi. Begitu juga melalui perwatakan di dalam buku kanak-kanak akan mengetahui cara yang baik bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, kemarahan mereka, kesedihan mereka dan kegembiraan mereka melalui cara yang sesuai. Melalui model yang ditunjukkan oleh watak-watak di dalam buku cerita tersebut kanak-kanak secara tidak langsung mempelajari bagaimana menangani masalah emosi mereka dengan cara yang sesuai (Lynch-Brown & Tomlinson,1999). Ilustrasi juga dapat memainkan peranan dalam perkembangan emosi kanak-kanak kerana ilustrasi di dalam buku berupaya menunjukkan perlakuan perlakuan positif dan negatif sesuatu watak. Ilustrasi yang baik akan menunjukkan emosi watak melalui mimik muka, perlakuan serta personaliti watak yang dapat diperhatikan oleh kanak-kanak. Oleh kerana gambar ini tidak  bergerak, ianya boleh diamati oleh kanak-kanak dan secara tidak langsung berlakulah peniruan. Oleh itu pelukis ilustrasi haruslah menggunakan peluang ini seluas-luasnya dalam menyampaikan tunjuk ajar yang positif kepada kanak-kanak.

Fungsi sastera kanak-kanak dan remaja

Sastera kanak-kanak dan sastera remaja merupakan bidang yang sangat menarik dan penting kerana peranannya dalam memberikan sumbangan besar dalam sosial dan budaya dari sudut pembelajaran dan pengajaran. Sastera kanak-kanak merupakan bahan bacaan yang ditulis khas untuk sumber pengetahuan kanak-kanak. Bahan-bahan ini merangkumi semua bentuk penulisan kreatif dam imaginatif yang khususnya bertujuan untuk dibaca, hiburan dan dinilai oleh kanak-kanak. Menurut Misran Rokimin (2001) meneliti sastera kanak-kanak sebagai agen pembangunan yang menjurus kepada pembangunan diri seseorang manusia itu, sama ada dari segi emosi, pemikiran atau kebahasaannya. Ketiga-tiga aspek ini akan terus berkembang, yakni semakin banyak karya sastera yang dibacanya, semakin bertambah perkembangan berlaku dalam diri kanak-kanak itu.
Sastera remaja pula merupakan hasil ciptaan pengkarya untuk menceritakan tentang kehidupan remaja, alam zahir dan alam batin remaja itu. Melalui perasaan-perasaan dan fikiran-fikiran yang dilahirkan dengan bantuan bahasa menjadikan seni sastera remaja sebagai satu hasil kehidupan jiwa yang terjelma yang menggambarkan kehidupan masyarakat remaja. Menurut Othman Puteh(1988:21) mengatakan bahawa sastera remaja merupakan bahan bacaan sastera kreatif yang tercetus daripada pengamatan, pengalaman dan kreativiti pengarang yang relevan dengan pertumbuhan dan perkembangan psikologi remaja yang berusia sekitar 12-20 tahun. Bahan ini dikatakan sebagai relevan kerana segala hasil karya tanpa mengira genrenya yang dapat memperkaya pengalaman dan pengetahuan khalayak pembacanya, merangsang minat dan berupaya menghidupkan daya imaginasi lalu mendorong daya berfikir secara kritis dan selektif.
Kedua-dua genre ini baik sastera kanak-kanak mahupun sastera remaja mempunyai peranan masing-masing. Kedua-dua genre ini mempunyai fungsi yang sama, antaranya:

i.      Sebagai medium untuk mendekatkan dan membiasakan mereka dengan bahasa sastera. Misalnya sastera kanak-kanak menggunakan konsep cerita binatang yang berperanan sebagai wadah bagi mendekatkan sastera kepada kanak-kanak. Watak haiwan digunakan sebagai pengantara antara sastera dan kanak-kanak. Hal ini disebabkan naluri kanak-kanak yang secara semulajadinya menyukai haiwan dalam dunia realiti. Justeru, tidak sukar untuk memupuk minat mereka terhadap sastera jika watak haiwan ini dipindahkan ke alam karya penulisan. Selain itu, sastera remaja pula menggunakan konsep realiti kehidupan di mana remaja didedahkan dengan ilmu pengetahuan tentang pelbagai aspek dalam kehidupan seperti dalam bidang politik, sejarah, agama, psikologi dan falsafah. Hal ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada golongan ini mengenal realiti sebenar kehidupan. Justeru, tidak sukar untuk memupuk minat mereka terhadap sastera jika kehidupan realiti ini dipindahkan ke alam karya penulisan. Jelaslah bahawa sastera kanak-kanak dan sastera remaja berfungsi sebagai medium untuk mendekatkan dan membiasakan mereka dengan bahasa sastera.

ii. Sebagai medium bagi mempertingkatkan tahap keintelektualan, daya imaginasi dan kreativiti khalayak kanak-kanak dan remaja. Ia diransang sewaktu mereka mengikuti plot-plot yang terdapat dalam hasil sastera yang dibaca. Ada di antara hasil-hasil sastera ini dipersembahkan dalam bentuk lakonan, nyanyian, gurindam, pantun dan seloka yang secara tidak lansung melatih mereka untuk mengekspresikan diri mereka serta mencungkil bakat yang terpendam dalam diri mereka. Misalnya melalui rancangan realiti seperti Idola kecil, Pondok-pondok dan Tetombak memberi ruang kepada mereka mempertingkatkan bakat kanak-kanak dalam bidang kesusasteraan. Manakala golongan remaja sering didedahkan dengan pertandingan nyanyian, penulisan kreatif dan pelbagai lagi. Hal ini menjelaskan bidang sastera telah berkembang luas sehingga mampu menarik minat golongan kanak-kanak dan remaja menceburi bidang ini dengan lebih mendalam.

iii. Sebagai medium hiburan untuk individu masyarakatnya. Masyarakat zaman dahulu atau golongan yang mengamalkan cara hidup tradisional tidak mempunyai media hiburan untuk individu masyarakatnya. Oleh itu, pelbagai cerita lisan diciptakan dalam bentuk seni sastera bertujuan menarik perhatian khalayaknya. Lazimnya hasil-hasil sastera ini dicorakkan dengan ilustrasi dan gambar-gambar yang menarik. Secara tidak langsung, kanak-kanak dapat menikmati sesi pembacaan dengan minda yang terhibur. Manakala karya sastera bagi golongan remaja biasanya diselitkan adegan romantis dan mesra antara satu individu dengan satu individu yang lain kerana pada peringkat ini mereka melalui alam berkasih  sayang. Faktor perubahan hormon ini menyebabkan mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang. Jelaslah bahawa sastera kanak-kanak dan sastera remaja ini berkembang maju sebagai suatu medium hiburan yang bergerak seiring dengan permintaan khalayaknya.

iv. Sastera kanak-kanak dan sastera remaja memainkan peranan yang penting untuk menyampaikan wadah pengajaran dan didikan moral kepada masyarakat tradisi. Cerita lisan telah menjadi medium yang penting untuk memberi nasihat dan pengajaran yang baik dan dijadikan panduan kepada setiap individu masyarakatnya. Hal ini dapat dilihat dalam sastera kanak-kanak melalui cerita-cerita binatang yang menjadikan haiwan sebagai watak-watak yang memberikan pelbagai pengajaran yang baik seperti mengisahkan tentang akibat orang yang tamak, takbur, sombong dan bongkak seperti cerita “Anjing dengan Bayang-bayang”. Walaupun penggunaan watak haiwan diaplikasikan, namun ia pada akhirnya membawa mereka kepada nilai-nilai moral yang terdapat dalam cerita tersebut di mana cerita jenis ini mempunyai ciri interaktif dan dapat memberi kesan pada jiwa kanak-kanak. Jelaslah bahawa sastera kanak-kanak dan sastera remaja memainkan peranan penting dalam mendidik, khususnya bagi golongan kanak-kanak dan remaja yang belum mengetahui sistem pengajian yang bercorak formal.

v. Sastera kanak-kanak dan sastera remaja juga berfungsi untuk menerapkan nilai-nilai murni kepada khalayak pembaca. Antara nilai-nilai murni yang kerap diterapkan oleh pengarang dalam hasil sastera kanak-kanak dan sastera remaja ialah nilai berkerjasama, tolenrasi, sensitif kepada kezaliman, saling bermaafan, berterima kasih, berani mencuba  dan berkasih sayang. Kesedaran terhadap nilai-nilai murni ini perlu disemai pada peringkat awal zaman kanak-kanak lagi. Sastera kanak-kanak dan sastera remaja ini berperanan dalam memberi teladan kepada kanak-kanak agar mereka dapat menyesuaikan dan mempersembahkan diri mereka berdasarkan kepada nilai murni yang ditonjolkan berdasarkan bahan sastera yang telah dibaca oleh mereka. Hal ini disebabkan mereka ibarat kain putih yang perlu dicorakkan dengan nilai dan budi pekerti yang baik. Bak kata pepatah, "melentur buluh biarlah dari rebungnya".  Jelaslah bahawa sastera kanak-kanak dan sastera remaja bukan sahaja sebagai hiburan tetapi mampu berdiri sebagai alat yang dapat membantu khalayak pembacanya membina nilai-nilai murni.

vi. Sastera kanak-kanak dan remaja berfungsi sebagai keperluan material atau kebendaan. Keperluan material ini menggambarkan keadaan kehidupan fizikal yang serba lengkap dan istimewa khususnya dari segi material. Lazimnya, kanak-kanak akan terangsang dengan gambaran tempat kediaman istana atau rumah yang bangunannya besar dan indah dengan bilik-bilik yang dihiasi oleh pelbagai hiasan. Selain itu, putera-puterinya digambarkan kacak dan cantik rupawan dengan hiasan permata gemerlapan, pakaian cantik dan berwarna-warni serta majlis perkahwinannya dilangsungkan dengan meriah dalam suasana yang gilang-gemilang dihadiri oleh orang-orang kenamaan dari segala pelosok negeri. Jamuan yang dihidangkan pula pelbagai aneka. Hal ini dapat dilihat dalam cerita Puteri Kayangan dan cerita Alladin dan Lampu Ajaib. Ia mencabar proses imaginasi kanak-kanak untuk terus berusaha memikirkan cara untuk memiliki kepunyaan sendiri. Jelaslah bahawa sastera kanak-kanak dan remaja mampu berfungsi sebagai salah satu keperluan materi.

Kesimpulannya sastera kanak-kanak dan remaja bukan sahaja berperanan sebagai alat hiburan tetapi turut memainkan peranan penting dalam dunia realiti. Pengarang yang menghasilkan karya sastera kanak-kanak dan sastera remaja mestilah mempunyai tahap intelek yang tinggi dalam penghasilan karya tersebut. Hal ini disebabkan golongan ini adalah golongan yang mudah diberi pendedahan bak kata pepatah “kanak-kanak merupakan kain putih yang perlu dicorakkan.”  Oleh itu, setiap hasil karya sastera kanak-kanak dan remaja itu perlu mempunyai unsur yang dapat membentuk keperibadian kanak-kanak dan remaja sebagai generasi yang mulia dan bermoral. Maka karya sastera kanak-kanak dan remaja yang hendak dihasilkan perlulah menitikberatkan aspek mutu bahan bacaan tersebut. Tahap kecerdasan pemikiran seseorang kanak-kanak dan remaja itu terletak pada tahap keintelektualan pengarang itu sendiri.


Rujukan
1. Othman Puteh, (1987), Sastera  Kanak-kanak dan Remaja. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
2. http://atim8805.blogspot.com/2010/11/fungsi-sastera-kanak-kanak-dan-remaja

Tiada ulasan:

Catat Ulasan